Wednesday 1 June 2016

Selamat Datang Bulan Ramadhan 2016

 Khemah Untuk Pasar Ramadhan

Bulan Ramadhan sudah nak sampai, cuma tinggal lebih kurang 4 hari sahaja lagi dari tarikh hari ini. Kaum muslimin dan muslimat sudah bersedia bagi menyambut bulan yang mulia ini. Kaum peniaga juga nampaknya sudah bersedia dengan perancangan yang telah dibuat untuk perniagaan masing-masing.

Hari pertama puasa kanak-kanak masih lagi dalam cuti. Tidak susah sangatlah bagi kanak-kanak mengharungi hari pertama puasa kerana hari itulah hari yang paling kuat dugaannya bagi kanak-kanak berpuasa.

Kalau kita ke kompleks membeli-belah pun kita akan mula nampak pelanggan-pelanggan membeli belah untuk buat persediaan bulan puasa. Ada juga pelanggan mebuat persedian untuk menyambut hari raya dengan membeli pakaian untuk anak-anak mereka. Pendek kata segala-galanya sudah bermula baik menyambut puasa mahupun hari raya.

Kalau kita lihat pada tiang-tiang letrik, pokok-pokok dan pagar-pagar di tepi jalan, kita akan nampak bermacam-macam iklan dan banner mempromosi tempahan bulan puasa mahupun untuk hari raya. Bulan puasa untuk buat duit dan hari raya untuk menghabiskannya.

Bulan Ramadhan zaman sekarang sudah banyak berubah. Zaman masa aku kecik-kecik dulu bila nak sampai puasa sudah bayangkan hari raya. Nak berbuka mesti ada ais batu. Masa dulu penjual ais menjual ais ketul disalut dengan habuk papan. Ais batu ketul ini akan disalut dengan habuk papan atau kayu supaya ia lambat cair.

Zaman sekarang sudah tidak ada itu semua. Kalau nak buat ucapan selamat berpuasa pun boleh, tekan saja butang whatsapp, wechat dan sms pun boleh, selang beberapa saat sampailah ucapannya. Kalau dulu tunggu orang jual kad raya baru boleh buat ucapan. Itu semua sudah menjadi nostalgia.

Kita semua tahu bulan Ramadhan adalah bulan ibadah. Kita buat ibadah puasa, kita berlapar dan dahaga, kita jaga mata kita, telinga kita, mulut kita dan hati kita sentiasalah kena bersih. Kita mengerjakan tarawih dan witir, bertadarus, qiamullail, menunggu malam Lailatulkadar. Jauhkanlah diri kita dari mengerjakan perkara mungkar. Itulah sepatutnya yang perlu kita buat.


EmoticonEmoticon