Monday 11 July 2016

Jadi Diri Kita Yang Baru Selepas Bulan Ramadhan

Hari raya sudah 5 hari berlalu. Yang tinggal hanyalah kita yang masih lagi dalam bulan syawal dan ramai yang sedang mengerjakan puasa 6. Bagi yang balik beraya di kampung banyak yang sudah beredar ke destinasi masing-masing.

Hari ini hari raya keenam. Kunjung mengunjung masih lagi rancak nampaknya. Seperti juga aku yang baru saja balik dari  berkunjung rumah mertua setelah menghadiri kenduri dan juga rumah terbuka di sana. Aku tinggal di Alor Setar dan mertua aku di Ijok, Perak.

Raya tahun ini okay sekali, rezeki pun mewah nampaknya. Allah yang bagi rezeki kepada kita. Dalam pada itu kita kena juga ingat kepada mereka yang kurang kemampuan, yang sedang menghadapi dugaan Allah yang lebih dasyat lagi daripada kita.

Bantulah mereka sekadar yang mampu. Rezeki yang Allah bagi, tetapi bukan untuk kita seorang. Apa salahnya kita bagi saja zakat hasil daripada perniagaan bulan puasa kita kepada mereka yang memerlukan.

Hari ini kita naik, esok atau lusa belum tentu kita akan jadi seperti hari ini. Mungkin satu hari nanti kita sendiri akan berada di tempat seperti mereka, siapa tahu. Kesemuanya ini kehendak Allah semata-mata.

Amalan mulia yang paling mudah untuk kita buat ialah memberi. Memberi dengan ikhlas kepada yang memerlukan, bukan kepada yang sudah ada. Walaupun pemberian kita itu sedikit sangat, tetapi ada yang memerlukan. Itu sudah dikira bagus dan perbuatan memberi itu adalah satu amalan yang mulia.

Kalau nak dikira, bulan Ramadhanlah bulan yang memberi peluang kepada diri kita untuk merubahkan diri kita, walaupun sedikit. Dengan adanya amalan-amalan yang kita ikutinya dengan bersungguh-sungguh, insyaallah kita boleh teruskan berbuat demikian sehingga sampai bila-bila.

Seperti juga memberi, kita bersedekah dengan benar-benar ikhlas kerana Allah. Kita latih diri kita berdiam diri dari bercakap yang bukan-bukan ketika berpuasa dengan bersungguh-sungguh dan praktikan sepenuhnya kerana Allah sampai bila-bila.

Banyak lagi amalan yang kita boleh lakukan demi kerana Allah dan beristiqamahlah dengan amalan-amalan tersebut. Insyaallah kita akan menjadi diri yang baharu tidak seperti diri kita sebelumnya, percayalah.









EmoticonEmoticon