Thursday 5 May 2016

Bersedia Untuk Berniaga Di Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan sudah tak lama akan tiba. Bagi kaum peniaga kecil-kecilan, ada yang sudah menempah tempat di pasar-pasar ramadhan di kawasan masing-masing. Begitu juga aku, pun tak ketinggalan.

Aku rasa masing-masing sudah ada idea bisnes apa yang nak dibuat, bagi aku seperti biasa. Bisnes aku tetap seperti perniagaan harian aku, berniaga air soya dan tau fu fah. Masa bulan puasa ada ramai peminat soya. Macam itulah setiap tahun, aku tidak pernah ketinggalan menjual soya.

Setiap tahun pada bulan Ramadhan orang kita banyak yang berniaga. Yang tak pernah berniaga pun akan cuba berniaga. Maklum sajalah rezeki di bulan puasa selalunya bertambah, berniaga apa pun laku, jangan berniaga yang bukan-bukan sudahlah.

Bulan puasa ni kita akan nampak betapa kalut dan sibuknya  orang berniaga makanan terutamanya di pasar-pasar ramadhan. Makanan yang kita tak pernah jumpa pun akan kita akan nampak. Jangankan makanan air minuman pun sudah ada bermacam-macam jenis.

Bulan puasa bagi orang islam adalah bulan kita menumpukan kepada ibadah. Disamping ibadah, kita juga perlu pulun mencari duit lebih bagi menambah pendapatan. Bila lepas raya nanti taklah teruk sangat kita nak menghadapi segala kesulitan akibat dari tersalah belanja masa buat persedian hari raya.

Apa yang aku tahu, dari rekod kawan-kawan tahun lepas kebanyakan mereka buat duit semasa berniaga di pasar-pasar ramadhan termasuklah aku.

Pada bulan puasa tahun ini, aku berharap jadilah seperti tahun yang lepas-lepas dapat buat duit sikit-sikit pun jadilah asalkan ianya halal. Bukan apa, hanya untuk anak-anak yang sedang membesar dan sedang belajar demi masa depan mereka.

Wednesday 4 May 2016

Whatsapp Ibarat Benci Tapi Rindu

Sekarang ini Whatsapp sudah menjadi alat berkomunikasi paling popular di dunia ini. Setakat ini alat-alat berkomunikasi seakannya yang lain-lain tidak akan boleh lawan dengan Whatsapp.

Whatsapp mampu buat sesetengah orang lupa diri buat setetika, itulah hakikatnya. Whatsapp alat yang mampu memberi kabaikan dan keburukan.

Kawan-kawan yang bertahun-tahun tak pernah jumpa pun boleh bergaduh akibat dari berwhatsapp. Suami isteripun boleh bergaduh akibat dari berwhatsapp juga. Senario yang elok mahupun tak elok kita boleh nampak dari berwhatsapp.

Telinga aku sendiri kadang-kadang tak boleh tahan dengan bunyi signal Whatsapp. Signal dari hand set aku sendiri, hand set isteri dan hand set anak-anak aku sudah cukup buatkan aku tak senang duduk. Sehinggakan pukul 4 pagi masih ada lagi whatsapp berbunyi.

Dalam marah-marah aku dekat Whatssapp, banyak juga kebaikan yang dapat dari alat ini. Banyak berita-berita penting aku dapat terlebih awal dari orang lain, umpamanya berita politik setempat. Aku terima dari kawan-kawan group aku. Berita itulah dan inilah macam-macam.

Apapun apabila berwhatsapp, janganlah hantar benda yang bukan-bukan seperti benda-benda yang boleh menyakitkan hati orang lain. Kalau dalam group janganlah membuat benda-benda yang melanggar etika berkawan.

Kadang-kadang aku rasa meluat dengan whatsapp. Aku rasakan whatsapp telah ganggu hidup aku. Dengar

bunyinya saja aku rasa naik meluat, tapi bila dia berbunyi hati aku rasa nak juga aku tahu siapa yang menghantar. Begitulah hari-hari dalam hidup aku dengan whatsapp. Benci tapi rindu.

Monday 2 May 2016

Motivasi Untuk Menyimpan




Boleh dikatakan semua orang sukakan duit. Adakah semua orang suka simpan duit ?Jawapannya ialah bila kita ada duit belum tentu kita akan menyimpannya.

Kalau tak semua orang suka simpan duit, agak-agak berapa kerat kah orang yang suka menyimpan. Ada orang tak banyak menyimpan duit tetapi mereka banyak menyimpan harta-harta lain. Kalau mengikut kaedah, duit juga adalah harta.

Beza duit dan harta lain ialah dari segi kecairannya. Jika kita sudah menyimpan dan jikalau kita memerlukannya satu hari kelak, tekan saja jari kita maka duit akan sampai ketangan kita. Begitu mudahnya kita dapat duit kita balik apabila kita menyimpannya.

Begitu mudahnya kita dapat duit kita balik apabila kita menyimpannya, itulah penyebab sebenar kita susah untuk menyimpan duit kita yang ada. Kita perlukan satu kekuatan ataupun 'will power' untuk tidak menyentuh duit yang kita simpan itu.

Kita memerlukan motivasi dan alasan untuk menyimpan duit kita tanpa mengusiknya. Jadikan masa depan anak kita sebagai motivasi untuk diri kita buat simpanan. Sebagai contoh, buatlah simpanan di tabung pelajaran seperti SSPN-i Plus, takaful, insuran dan sebagainya.

Simpan duit kita di bank dan seterusnya membuat pinjaman kembali untuk dilaburkan ke ASB. Kita akan dapat balik duit kita dalam tempuh beberapa tahun sekali gus dengan keuntungannya.
   
Syarikat insurans juga mampu memberi keuntungan kepada penyimpan di syarikat mereka dengan 'Investmet Linked' mereka di samping memberi perlindungan insurans kepada penyimpan mereka.

Kita mesti ada penyebab untuk kita membuat simpanan. Masa depan kita dan keluarga kita adalah motivasi yang kuat untuk kita menyimpan. Kalau kita gagal maka masa depan keluarga kita akan turut gagal bersama kita.

Sekadar 10% dari pendapatan kita untuk buat simpanan secara tetap pun sudah cukup untuk memberi masa depan kita yang cerah buat kita jika kita tidak mengusiknya langsung dan terus menyimpan.




Sunday 1 May 2016

Peringatan Untuk Kita Semua

Pagi-pagi lagi aku terima whatsapp dari seorang kawan dari group. Memang terasa sekali, hendak pula kawan rapat aku semasa muda-muda dulu baru sahaja kembali menemui Allah dalam 2/3 minggu yang lepas.

Aku tahu bukan kawan aku ini yang menulisnya, mungkin ada di antara kita yang sudah membacanya. Tak apalah demi untuk peringatan, aku masukkan juga dalam tulisan blog aku kali ini, moga kita sama-sama menghayatinya dan renung-renungkanlah.

Hidup kita pasti akan mati, tidak kira bila dan macam-macam cara kita menemui mati dan itu semuanya kehendak Allah. Allah yang menentukan segala-galanya.

Apakah persediaan kita sebelum mati? Dalam hal ini aku tak payah memberi jawapan, aku rasa semua orang tahu jawapannya.

Yang penting, apa yang perlu kita buat sebelum kita menemui kematian kita? Jika mahu mati dalam iman, apa yang perlu kita buat. Jika takut mati dalam kemiskinan, apa yang perlu kita buat sekarang. Mati itu pasti dan akhirat itu pasti sampai.


Sunday 10 April 2016

Jangan Kena Scam Dengan Money Game


Tiga bulan lepas, ada seorang kawan lama aku si A ajak aku masuk satu skim, katanya selepas register dan masukkan duit, tunggu minggu depan aku akan mula dapat imbuhan hingga beberapa minggu seterusnya.

Selang beberapa hari seorang lagi kawan aku si B talipon dan mengajak aku masuk skim yang sama juga. Katanya ini kali memang kita boleh buat duit. Aku seperti biasa sajalah, tak mau nak bangkang, nanti kecik hati kawan pula.

Baru-baru ini, kawan aku yang pertama si A itu singgah di gerai aku.  Aku tanya dia macam mana tentang skim yang dia ajak aku masuk tempuh hari, berapa banyak dah yang dia dapat. Dia diam sahaja ,angguk tidak,jawab apa pun tidak. Aku pun diam, malas nak potong angin dia. Nanti jadi panjang cerita.

Aku tahu member-member aku ni sudah kena scam. Depa sudah kena tipu. Member-member aku ni semuanya gang-gang pencen, duit pun ada dan anak-anak semua dah lepas. Daripada duduk saja dan tak tau nak buat apa lebih baik depa melabur. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Selama yang aku dok tengok member-member aku yang melabur dengan skim-skim yang macam ni, kebanyakannya beruntungkan batu, ia itu tenggelam. Aku bukan tak kesian dekat kawan-kawan macam ni, tapi aku dah malas nak nasihat. Mereka ini semua memang kaki pandai cakap.

Nak kata depa ni bodoh, tidak juga. Ada yang buat business, ada yang pencen technician dan banyak yang pencen cikgu. Tapi dalam hal skim-skim macam ni depa selalu terkena jerangkap. Bukan jerangkap samar, tetapi jerangkap yang terang-terang menipu.

Hari itu, aku sedang asyik menjual soya, tiba-tiba muncul seorang wanita, boleh tahan juga penampilannya. Ajak aku masuk satu skim, katanya skim ini memang boleh buat duit. Skim ini berasaskan forex trading, tetapi cara tradenya menggunakan binari. Statement budak perempuan ni membuatkan aku terbingung buat seketika.  

Setahu aku mana ada buat trade forex guna binari. Kalau nak trade forex trade saja terus dengan broker. Lagi pun bukan senang nak buat dengan forex trading, kita kena betul-betul  bagus baru boleh buat duit. Kalau orang lain buat duit untuk kita bukan senang nak bagi untung tiap-tiap minggu. Depa bukan broker.

Kalau aku nak buat trade forex aku akan buat sendiri, tak payah pakai depa. Kalau untung ke, rugi ke nanti aku yang tanggung. Lebih baik buat sendiri daripad kena ' con ' tak tentu pasal.

Yang aku hairan, mengapa skim-skim sebegini dibiarkan saja berkeliaran atau lambat sangat diambil tindakan sedangkan jika kita nak trade forex dikatakan haram. Sekarang ini sudah banyak broker forex menjalankan forex trading secara islamik dan mengikut syariah.

Monday 4 April 2016

Cari Jalan Keluar Dari Kemiskinan


Apakah kemiskinan itu sebenarnya? Kemiskinan itu sebenarnya sangat subjektif. Ada orang tidak ada rumah, sakit, tidak ada pendapatan dan mengharapkan bantuan. 

Ada orang bergaji tinggi, hutang terlalu banyak hinggakan hendak menyara anak bersekolah pun susah sekali. Bukan setakat itu, makan pakai dan lain-lain keperluan susah hendak dipenuhi.

Ada juga peminta sedekah yang kaya walaupun dirinya nampak miskin. Ada juga orang berada jatuh miskin kerana menagih dadah.

Ada juga orang berpelajaran tinggi, kemudian buat business dan lingkup, bertaraf muflis dan susah mendapat perkerjaan dan akhir sekali menerima bantuan sana sini dan seterusnya berdaftar dengan e-kasih.

Ada orang berniaga maju, mempunyai keluarga bahagia, tiba-tiba jatuh sakit dan akhirnya jadi miskin. Ada orang yang ibu bapa yang memang miskin dan teruskan kehidupan mereka menjadi miskin.

Walaupun apa keadaan miskin sekali pun, kita tidak boleh biarkan keadaan ini berlarutan dan berpanjangan. Kita mestilah sedar yang kita kini miskin dan cubalah lari dari kepompong kemiskinan.

Kesedaran adalah langkah pertama untuk kita mengubah haluan hidup kita. Langkah kedua, kita mestilah cari jalan keluarnya pula. Dan kita kenalah berusaha untuk keluar dari kepompong tersebut.

Kita juga kena tahu dan sedar kedudukan kita dalam kemiskinan itu. Kita juga kena sedar bukan semua orang miskin dapat keluar dari kepompong kemiskinan.
Di kalangan miskin yang tegar, jangankan keluar dari kepompong kemiskinan, makan pun tidak menentu dan mengharapkan bantuan dari orang lain.

Ada orang miskin yang boleh berjalan kaki, ada basikal, motorsikal dan ada yang mempunyai kereta, mereka ini adalah golongan yang boleh bangkit semula jika diberi bantuan atau pertolongan.

Golongan miskin banyak yang mampu bangkit semula. Beri sahaja bantuan dan dorongan kepada mereka, dan mereka mampu bangkit dan memulakan penghidupan baru dengan bekerja atau pun berniaga.

Banyak di kalangan orang miskin yang sudah berjaya, sekurang-kurangnya mereka keluar dari kepompong kemiskinan.


Thursday 31 March 2016

Dapat Cuti Lagi Kerana Cuaca

Memang seronok murid-murid sekolah di Kedah dan Perlis, depa dapat cuti lagi. Cuaca pun sudah sampai 37 darjah celcius. Cuti kali yang kedua.

Dua tiga hari lepas hujan turun di kawasan Alor Setar sebelah malam. Aku ingatkan ia akan terus hujan lagi, tapi nampaknya ia kembali panas. Cuaca sekarang memang tak menentu.

Kita semua tahu yang keadaan panas berhaba belum lagi habis dan memang terasa lagi panas bahangnya. Kalau tidak masakan sekolah bercuti lagi hari ini.

Kanak-kanak pun janganlah terlalu berseronok sangat, janganlah bermain hingga tak ingat diri, kita masih lagi dalam keadaan cuaca berhaba membimbangkan dan macam-macam boleh terjadi.

Kita sebagai ibu bapa pun kenalah memberi perhatian juga terhadap anak-anak kita. Kalau terjadi sesuatu, kita juga yang akan susah nanti.

Pemilik kereta juga perlu juga berhati-hati, selain membuka tingkap 30% untuk mengelakkan dari terlampau panas akibat haba, keadaan sekeling juga mesti diambil kira. Masa inilah segala kejadian boleh berlaku terhadap kereta kita.

Janganlah kita simpan barang-barang berharga dalam kereta. Menyimpan barangan berharga dalam kereta boleh menarik perhatian pencuri untuk melakukan sesuatu.

Dalam keadaan cuaca sebegini, sepertimana yang selalu di war-warkan di tv, stroke haba mungkin berlaku dan kita hendaklah memberi peringatan pada diri kita. Apa yang dipesankan di tv itu janganlah diabaikan.

Janganlah kita ambil ringan sangat dengan keadaan cuaca panas berhaba yang berlaku di negara kita. Kita mestilah berjaga-jaga, bukan untuk orang lain tetapi untuk diri kita dan keluarga.