Monday 25 November 2019

Bermain Forex Dengan Modal Kecil Sebanyak RM 10 Boleh Juga


Zaman sekarang ini jika kita kata kita tak ada cukup wang untuk melabur memang karut sekali. Jika ada RM 10 pun sudah cukup bagi kita untuk melabur. Yang paling senang simpan sahaja duit kita di saham amanah.

Jika kita inginkan pelaburan yang lebih mencabar, simpan duit sikit untuk bermain forex. Dengan modal RM 100 pun kita sudah layak bermain forex. Nak main forex bukannya susah, belajar dulu selok belok forex dan mainlah. Cubalah dengan akaun demo dahulu.

Aku mengesyurkan forex kerana kita boleh mengawal trade kita sendiri. Maksudnya kita buat keputusan sendiri untuk merancang, mengeluarkan modal, keluar dan masuk pasaran. Segala-galanya kita yang membuat keputusan. Tidak seperti lain-lain pelaburan, kalau boleh pun ia memerlukan modal yang besar.

Buatlah permainan forex ini sebagai satu hobi kita. Untung rugi janganlah dikira sangat, kalau buat betul-betul boleh dapat untung. Yang penting sekali ialah kepuasan diri kita dan tidak menyusahkan sesiapa.

Aku sendiri mengambil trading forex sebagai hobi. Buat masa sekarang sedang membuat trade dengan menggunakan akaun demo. Bermain forex memberi kepuasan kepada aku. Aku tidak perlu takut kepada kerugian kerana segalanya bukan secara real.

Waktu malam adalah waktu yang paling sesuai sekali untuk aku berhobi dengan forex. Aku perlu buat analisis tentang forex dan mempratikannya dalam trade aku. Manalah tahu  kot-kot dapat formula yang baik yang boleh buat duit, bolehlah aku trade secara real.

Pada pandangan aku, bermain forex setakat ini adalah cara kita buat duit dalam pelaburan dengan menggunakan modal yang amat rendah sekali. Bukan setakat itu sahaja, seperti aku katakan tadi, ia juga boleh dijadikan satu hobi. Hobi ini yang memerlukan segala skill berfikir dan melatih diri kita tentang disiplin untuk diri kita sendiri.





Wednesday 23 November 2016

Taman Rekreasi Terbaru Ujana Peremba Di Alor Setar

Nama taman riadah terbaru ini ialah Ujana Peremba. Taman riadah ini belum lagi di buka secara rasminya namun pengunjung sentiasa ramai dengan gelagat masing-masing.

Taman riadah Ujana Peremba ini terletak di tempat yang juga namanya Peremba di sekitar Taman Samudera. Jauhnya dari dari Bandaraya Alor Setar hanyalah lebih kurang 2 kilometer.

Pasarana yang ada dan terdapat di taman ini termasuk tempat berjalan kaki dan berjogging. Beberapa tempat permainan kanak-kanak, beberapa tempat untuk bersenam.

Aktiviti sambil beriadah sudah menjadi kebiasaan di sini seperti bermain badminton dan sepak takraw bulatan. Ada yang berkasut roda, berbasikal dan ada yang bermain kereta mini.

Aku tidak tahu luas sebenar kawasan ini Ujana Peremba ini, tetapi ia memang nampak luas sekali tambah pula kawasan ini berkesinambungan dengan Mini Stadium Bandaraya yang mempunyai 2 padang.

Di salah satu padang inilah juara Piala Malaysia 2016 iaitu pasukan Kedah membuat latihan harian mereka.

Adanya taman riadah Ujana Peremba ini, maka nampak jugalah peluang-peluang untuk sesetengah orang mencari rezeki dengan menjual minuman dan makanan. Ada yang membuat sewa pakai kasut roda dan kereta mini. 

Suasana di sini nampak begitu muhibbah sekali. Semua kaum ada di sini. Kesemuanya datang untuk beriadah. Dari kanak-kanak kecil sampailah ke orang dewasa dan sehingga yang berusia emas.

Bagi mereka yang beriadah di sini, jika terasa lapar mereka tidak perlu risau kerana ada penjaja yang menjual minuman dan makanan snack di sini. Bersebelahanya juga ada ada medan selera dengan bebagai jenis makanan ada jual di sini.

Taman riadah Ujana Peremba ini telah menghidupkan kawasan ini dengan aktivi beriadah baik di waktu pagi mahupun di sebelah petang, sekali gus menampakan kecerian dan suasana muhibah penduduk di sini yang berbilang kaum.



ANDA PILIH SAHAJA KASUT JOGGING DI SINI
   




Monday 11 July 2016

Jadi Diri Kita Yang Baru Selepas Bulan Ramadhan

Hari raya sudah 5 hari berlalu. Yang tinggal hanyalah kita yang masih lagi dalam bulan syawal dan ramai yang sedang mengerjakan puasa 6. Bagi yang balik beraya di kampung banyak yang sudah beredar ke destinasi masing-masing.

Hari ini hari raya keenam. Kunjung mengunjung masih lagi rancak nampaknya. Seperti juga aku yang baru saja balik dari  berkunjung rumah mertua setelah menghadiri kenduri dan juga rumah terbuka di sana. Aku tinggal di Alor Setar dan mertua aku di Ijok, Perak.

Raya tahun ini okay sekali, rezeki pun mewah nampaknya. Allah yang bagi rezeki kepada kita. Dalam pada itu kita kena juga ingat kepada mereka yang kurang kemampuan, yang sedang menghadapi dugaan Allah yang lebih dasyat lagi daripada kita.

Bantulah mereka sekadar yang mampu. Rezeki yang Allah bagi, tetapi bukan untuk kita seorang. Apa salahnya kita bagi saja zakat hasil daripada perniagaan bulan puasa kita kepada mereka yang memerlukan.

Hari ini kita naik, esok atau lusa belum tentu kita akan jadi seperti hari ini. Mungkin satu hari nanti kita sendiri akan berada di tempat seperti mereka, siapa tahu. Kesemuanya ini kehendak Allah semata-mata.

Amalan mulia yang paling mudah untuk kita buat ialah memberi. Memberi dengan ikhlas kepada yang memerlukan, bukan kepada yang sudah ada. Walaupun pemberian kita itu sedikit sangat, tetapi ada yang memerlukan. Itu sudah dikira bagus dan perbuatan memberi itu adalah satu amalan yang mulia.

Kalau nak dikira, bulan Ramadhanlah bulan yang memberi peluang kepada diri kita untuk merubahkan diri kita, walaupun sedikit. Dengan adanya amalan-amalan yang kita ikutinya dengan bersungguh-sungguh, insyaallah kita boleh teruskan berbuat demikian sehingga sampai bila-bila.

Seperti juga memberi, kita bersedekah dengan benar-benar ikhlas kerana Allah. Kita latih diri kita berdiam diri dari bercakap yang bukan-bukan ketika berpuasa dengan bersungguh-sungguh dan praktikan sepenuhnya kerana Allah sampai bila-bila.

Banyak lagi amalan yang kita boleh lakukan demi kerana Allah dan beristiqamahlah dengan amalan-amalan tersebut. Insyaallah kita akan menjadi diri yang baharu tidak seperti diri kita sebelumnya, percayalah.








Sunday 5 June 2016

Segarkan Kembali Tentang Ibadah Puasa


Salam, ini apa yang aku terima dari grup whatsapp aku tentang puasa. Harap-harap kita dapat segarkan balik apa yang kita dah belajar dulu-dulu, apa yang kita dah lupa tentang puasa.

Ulangkaji Bab Puasa

Niat Puasa :

"Sahaja aku berpuasa
pada esok hari
kerana menunaikan fardhu bulan Ramadhan
pada tahun ini
kerana Allah Taala"

Syarat Wajib Puasa :

1. Islam
2. Baligh
3. Berakal
4. Sihat
5. Bermukim (Tidak Musafir)
6. Suci (Dari Haid Dan Nifas)

Syarat Sah Puasa :

1. Islam
2. Berakal & Mumayyiz
3. Suci (Dari Haid Dan Nifas)
4. Nyata masuknya bulan Ramadhan

Rukun-Rukun Puasa :

1. Orang Yang Puasa
2. Berniat
3. Menahan Diri Daripada Perkara Yang Membatalkan Puasa

Perkara Yang Membatalkan Puasa :

1. Makan Dan Minum Dengan Sengaja
2. Memasukkan Dengan Sengaja Benda Ke Dalam Rongga Yang Terbuka
3. Muntah Dengan Sengaja
4. Keluar Haid & Nifas
5. Gila
6. Murtad
7. Keluar Mani Dengan Dengaja
8. Bersetubuh Di Siang Hari

Perkara Sunat Ketika Puasa :

1. Segera Berbuka Puasa
2. Berbuka Dengan Kurma/Juadah Manis
3. Baca Doa
4. Melambatkan Bersahur
5. Banyakkan Baca Al-Quran, Berzikir, Berselawat Dan Membuat Amal Kebajikan
6. Sentiasa Bersedekah
7. Jauhkan Diri Daripada Bercakap Perkara Yang Sia-Sia Dan Perbuatan Yang Tidak Membawa Manfaat
8. Mandi Junub Lebih awal Sebelum Masuk Waktu Subuh

Makruh Ketika Puasa :

1. Bersuntik
2. Berbekam
3. Berkumur-Kumur
4. Memasukkan Air Ke Dalam Rongga Hidung Secara Berlebihan
5. Mandi Yang Berlebihan
6. Rasa Makanan Di Hujung Lidah

Golongan Yang Wajib Qada' Puasa :

1. Orang Sakit Yang Ada Harapan Untuk Sembuh
2. Orang Yang Musafir (Bukan Kerana Maksiat)
3. Orang Yang Kedatangan Haid Dan Nifas
4. Orang Yang Meninggalkan Niat Puasa
5. Orang Yang Sengaja Melakukan Perkara2 Yang Membatalkan Puasa
6. Orang Yang Pitam/Mabuk
7. Orang Yang Sangat Lapar Dan Dahaga

Mereka Yang Di Kenakan Membayar Fidyah Puasa :

1. Mereka Yang Tidak Dapat Mengqada'kan Puasa Sehingga Masuk Ramadhan Kali Kedua - (Fidyahnya : 1 Cupak Beras Untuk Setiap Hari Yang Di Tinggalkan Di Samping Mengqada' Puasa) Bagi Setahun Tertinggal.

Kalau Tidak Di Qada' Sehingga Melampaui 2 Tahun Maka Di Kenakan 2 Cupak Tetapi Puasa Tetap Juga 1 Hari (Tiada Tambahan).

2. Orang Sakit Yang Tidak Ada Harapan Untuk Sembuh.
3. Orang Yang Terlalu Tua Dan Tidak Berdaya Untuk Berpuasa
4. Orang Yang Ada Qada' Puasa Tetapi Meninggal Dunia Sebelum Sempat Berbuat Demikian
(Fidyahnya : Di Buat Oleh Kerabat Si Mati/Di Ambil Daripada Harta Pusakanya).
5. Perempuan Yang Mengandung/Yang Menyusukan Anaknya Perlu Mengqada' Puasa Dan Membayar Fidyah 1 Cupak Beras Bagi Setiap Hari Yang Di Tinggalkan. Sekiranya Dia Meninggalkan Puasa Kerana Bimbangkan Anaknya Tetapi Sekiranya Dia Takut Memudaratkan Pada Dirinya Dia Hanya Wajib Mengqada' Puasanya.

Kifarat Bersetubuh Di Bulan Ramadhan :

Orang Yang Bersetubuh Pada Siang Hari Bulan Ramadhan, Maka Kedua2 Suami Isteri Tersebut Perlu Mengqada' Puasa Berkenaan Dan Suami Wajib Membayar Kifarat (Denda) Seperti :

1. Memerdekakan Seorang Hamba Mukmin L/P
(Sekiranya Tidak Mampu)
2. Berpuasa 2 Bulan Berturut-Turut Tanpa Terputus
(Kalau Tidak Berdaya)
3. Memberi Makan Kepada 60 Orang Fakir Miskin

Walau Bagaimana Pun, Jika Persetubuhan Itu Di Lakukan Kerana Terlupa, Jahil Tentang Haramnya/Di Paksa Ke Atasnya Tidaklah Wajib Kifarat.


Tingkatan Puasa :

1. Puasa Umum - Sekadar Menahan Makan, Minum Dan Keinginan Berjimak
2. Puasa Khusus - Memelihara Mata, Telinga, Lidah, Tangan Dan Kaki Daripada Melakukan Dosa Selain Menahan Diri Daripada Perkara Di Atas
3. Puasa Khusus Al-Khusus - Merangkumi Puasa Di Atas Dan Di Sempurnakan Pula Dengan Puasa Hati Daripada Semua Keinginan Zahir Dan Batin

Mereka Yang Di Benarkan Meninggalkan Puasa :

1. Orang Yang Hilang Daya Upaya Seperti Sakit Yang Apabila Berpuasa Akan Menambahkan Keuzuran
2. Orang Musafir
3. Org Yang Terlalu Tua Dan Amat Lemah
4. Orang Yang Tersangat Lapar Dan Dahaga
5. Perempuan Hamil/Menyusukan Anaknya Yang Apabila Berpuasa Boleh Memudaratkan Diri/Anak Yang Di Susui Ibu

Selamat Menjalani Ibadah Puasa Kepada Umat Islam Mukminin Dan Mukminat.
Semoga Puasa Pada Tahun Ini Memberi Manfaat Kepada Kita.
Semoga Puasa Pada Tahun Ini Lebih Mudah Daripada Tahun Sebelumnya Dan Membanyakkan Kita Membuat Amal Ja'riah.
In shaa Allah...

Wednesday 1 June 2016

Selamat Datang Bulan Ramadhan 2016

 Khemah Untuk Pasar Ramadhan

Bulan Ramadhan sudah nak sampai, cuma tinggal lebih kurang 4 hari sahaja lagi dari tarikh hari ini. Kaum muslimin dan muslimat sudah bersedia bagi menyambut bulan yang mulia ini. Kaum peniaga juga nampaknya sudah bersedia dengan perancangan yang telah dibuat untuk perniagaan masing-masing.

Hari pertama puasa kanak-kanak masih lagi dalam cuti. Tidak susah sangatlah bagi kanak-kanak mengharungi hari pertama puasa kerana hari itulah hari yang paling kuat dugaannya bagi kanak-kanak berpuasa.

Kalau kita ke kompleks membeli-belah pun kita akan mula nampak pelanggan-pelanggan membeli belah untuk buat persediaan bulan puasa. Ada juga pelanggan mebuat persedian untuk menyambut hari raya dengan membeli pakaian untuk anak-anak mereka. Pendek kata segala-galanya sudah bermula baik menyambut puasa mahupun hari raya.

Kalau kita lihat pada tiang-tiang letrik, pokok-pokok dan pagar-pagar di tepi jalan, kita akan nampak bermacam-macam iklan dan banner mempromosi tempahan bulan puasa mahupun untuk hari raya. Bulan puasa untuk buat duit dan hari raya untuk menghabiskannya.

Bulan Ramadhan zaman sekarang sudah banyak berubah. Zaman masa aku kecik-kecik dulu bila nak sampai puasa sudah bayangkan hari raya. Nak berbuka mesti ada ais batu. Masa dulu penjual ais menjual ais ketul disalut dengan habuk papan. Ais batu ketul ini akan disalut dengan habuk papan atau kayu supaya ia lambat cair.

Zaman sekarang sudah tidak ada itu semua. Kalau nak buat ucapan selamat berpuasa pun boleh, tekan saja butang whatsapp, wechat dan sms pun boleh, selang beberapa saat sampailah ucapannya. Kalau dulu tunggu orang jual kad raya baru boleh buat ucapan. Itu semua sudah menjadi nostalgia.

Kita semua tahu bulan Ramadhan adalah bulan ibadah. Kita buat ibadah puasa, kita berlapar dan dahaga, kita jaga mata kita, telinga kita, mulut kita dan hati kita sentiasalah kena bersih. Kita mengerjakan tarawih dan witir, bertadarus, qiamullail, menunggu malam Lailatulkadar. Jauhkanlah diri kita dari mengerjakan perkara mungkar. Itulah sepatutnya yang perlu kita buat.

Tuesday 24 May 2016

Sehari Dalam Hidup Sebagai Runner


Kami ( aku dan isteri ) memang kaki pakai kereta lama, sudah berapa biji kereta dalam dua tahun kami beli, pakai dan sebiji dua kereta kami jual sahaja di kedai besi buruk timbang kilo. 

Apa nak buat, sememangnya kami tak mampu pakai kereta baru. Tak apalah, janji kami tidak berhutang dan tidak pening bila sahaja hujung bulan. Kalau dah tak mampu bayar ansuran bulanan, tunggu repossessorlah nampaknya.

Oleh kerana kami selalu beli dan jual kereta lama untuk sendiri, dan nak save bajet segala urusan tukar hak mlilk, puspakom, insuran dan JPJ dan segalanya kami buat sendiri. Ini sudah jadi kebiasaan kepada kami. Kami buat segala urusan, janji bajet tak lari.

Kelmarin, seorang kawan aku telah membeli sebuah kereta second hand dan ingin membuat pindah milik keretanya. Kami diminta menolongnya untuk menguruskan pindah milik itu. Isteri aku bersetuju sahaja untuk menolong kerana ia suka sangat membuat kerja-kerja macam ini.

Kami tidak pernah mengambil upah membuat urusan pindah milik kereta tetapi untuk cuba apa salahnya, lagi pun masuk duit siapa tak mahu. Hari itu pula memang kami ada masa sedikit kerana tidak berniaga soya, cuaca pun kurang elok.

Pagi dalam pukul 7.30 kami sudah sampai di PUSPAKOM dan terus buat booking pemereksaan. Kami bernasib dapat buat pemereksaan itu pada hari itu juga pukul 2.30 petang.

Buat pemereksaan hanya makan masa lebih kurang 1 jam dan bayaran dikenakan sebanyak RM 31. Selepas itu kami bergegas pula ke JPJ untuk buat pemindahan hak milik kereta. Kawan aku sudah pun berada disana kerana ia perlu sain segala dokumen. Bayaran pindah milik dikenakan sebanyak RM 100.

Selesai kerja di JPJ kami bergegas pula ke pejabat insuran dan urusan di situ hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit. Insuran di kenakan bayaran sebanyak RM 324. Nasib baiklah hari itu tidak banyak pelanggan yang datang.

Untuk selesaikan kerja terakhir kami, kami terus sahaja ke POS Malaysia, kami tidak ke JPJ kerana pejabat pos lebih dekat dengan tempat insuran yang kami buat urusan. Selesai sahaja buat road tax di pejabat pos dengan bayaran RM 90, maka selesailah kerja kami sebagai runner membuat pindah milik kereta.

Sebagai runner kami dibayar upah sebanyak RM 150. Ada orang mengenakan bayaran sebanyak RM 100 untuk membawa kereta pelanggan buat pemereksaan sahaja. Kami buat kesemuanya dengan harga upah RM 150. Apa pun servis mestilah kena tip top baru pelanggan percaya.

Untuk peringatan, kalau kita mampu buat itu semua, buatlah sendiri lebih baik dan dapat jimat bajet. Kalau duit tu dah banyak sangat carilah runner untuk buat semua, juga tidak salah.

Buat sendiri -- RM 445.00

Menggunakan runner - RM 595.00

Thursday 19 May 2016

Berniaga Kuih Pintal Bilis


Aku tak tahu kuih pintal bilis berasal daripada mana. Tetapi di kampung aku, banyak rumah yang buat business kuih pintal bilis ini. Di sebelah belakang rumah aku ada kilang kecil yang membuat perusahan ini.

Kuih pintal bilis ini memang sedap, bagi orang yang tak ada gigi semestinya ada masalah sikit. Ikan bilis dipintal dengan adunan tepung dan digoreng. Semasa menggoreng, baunya sahaja sudah menyelerakan, hendak pula semasa bulan puasa di siang hari.

Sekarang ini pengusaha-pengusaha kuih pintal bilis sudah mula sibuk menerima tempahan. Ada pengusaha yang sudah pun menolak tempahan kerana banyak sangat tempahan yang diterima. Takut-takut kalau tak sempat nak buat nanti.

Kuih pintal bilis ini sangat sesuai dihidang pada hari raya kerana ia berperanan sebagai kuih untuk kunyah-kunyah. Lebih kurang serupa juga kita makan kacang pada hari raya. Kalau kita makan sambil bersembang-sembang pun ia tak akan tersembur keluar dari mulut kita, tidak macam kuih raya yang lain.

Kuih ini nampak saja mudah, tetapi nak buatnya memang susah. Nak pintal adunan tepung ke badan ikan bilis itu pun sudah makan masa. Bukan semua orang boleh buat kuih pintal bilis ini, patutlah harganya tinggi. Harganya boleh mencecah melebihi RM 30 untuk satu kilo. Kalau jual secara online aku rasa lagi tinggi harganya.

Setahu aku kuih pintal bilis ini ada dua rasa, satu rasa gebu dan rangup dan satu lagi rasa keras sedikit dan ranggup. Kedua-duanya memang sedap. Bagi aku, rasa gebu dan rangup lebih sesuai dengan gigi aku yang banyak sudah hilang, cuma tunggu nak buat gigi palsu sahaja.

Aku rasa kalau kita nak buat business kuih pintal bilis pun bagus juga. Nak mulakan business ini pun tidaklah guna banyak duit, cuma beli beberapa peralatan atau mesin yang tidak makan modal sehingga beribu-ribu ringgit. Hanya dengan modal dalam ratusan ringgit kita mampu memulakan perniagaan ini.

Aku rasakan perniagaan ini ada potensi memandangkan  bukan semua orang mampu buat kuih ini. Permintaan banyak tetapi pengeluarannya tidak mencukupi. Kalau kita sudah mula mendapat pasaran, ini bermakna kita boleh dijadikan projek ini sebagai satu harapan untuk buat duit.