Showing posts with label Kalau Nak Berniaga. Show all posts
Showing posts with label Kalau Nak Berniaga. Show all posts

Tuesday 15 September 2015

Nak Berniaga Tak Perlu Pinjam Dari Ah Long

Kalau kita hendak berniaga tak perlulah pinjam dari Ah Long. Ah Long pun sekarang ini sudah pandai memilih, bagi orang tak ada gerai ke, tak ada apa ke susah nak dapat pinjam. Aku dulu pun macam tu, aku contact Ah Long, dia tanya tempat aku berniaga, aku jawab di rumah langsung ia tak datang.

Selang beberapa bulan aku sudah pun ada tempat berniaga, si Ah Long yang sama berhenti depan gerai aku dan selamba sahaja bertanya samada aku mahu pinjam atau tidak. Aku pun memang tak perlu Ah Long lagi kerana aku sudah ada modal.

Kenapa kita mesti pinjam dari Ah Long ? Kita ada banyak tempat seperti Tekun, Amanah Ikhtiar atau mana-mana pusat pusat mikro kredit untuk  kita mengadu hal untuk mendapatkan modal jika kita ingin berniaga. Cuma bezanya satu sahaja, Ah Long boleh beri pinjam wang secepat mungkin. Yang lain-lainnya hendaklah mengikut prosedure.

Jika kita hendak pinjam dari Amanah Ikhtiar contohnya, kita hendaklah mengikut caranya. Masuk sebagai peserta dalam kumpulan, menghadiri mesyuarat setiap minggu, berikrar dan macam-macam lagilah yang perlu kita lakukan semata-mata untuk dapat pinjaman wang.

Pinjam dengan Ah Long ada juga syaratnya tetapi tidaklah bertulis. Yang perlu kita tahu, syarat dari Ah Long hanyalah satu sahaja, kalau tak bayar tunggulah malapetaka yang datang, faham-faham sahajalah. Dalam celah-celah itu, ramai juga kawan-kawan aku lebih menyokong Ah Long dari badan-badan peminjam seperti Amanah Ikhtiar dan lain-lainnya.

Kenapa ramai sangat orang kita pinjam duit dari Ah Long ? Inilah jawapannya, mudah dapat, tidak banyak kerenah dan cepat. Apakah pinjaman dari badan-badan seperti Tekun atau Amanah Ikhtiar tidak senang dan semudah Ah Long ? Semua orang tahu pinjam dari Ah Long memang berisiko tinggi dan kenapa masih ramai lagi yang masih meminjam.

Aku rasa pihak tertentu perlu kaji dengan lebih mendalam lagi tentang perkara ini. Bagi aku Tekun atau Amanah Ikhtiar belum lagi dapat mengambil tempat Ah Long dari segi pinjaman cepat dan mudah. Pihak tertentu juga perlu mencari jalan dan cara terbaik untuk mengikat orang kita dari terlibat dengan Ah Long.

Kalau Nak Berniaga Goreng Pisang Rangup

Kali ini aku ingin berkongsi maklumat dengan sesiapa sahaja yang ingin berniaga goreng pisang rangup. Berniaga goreng pisang juga mampu memberi kita pendapatan lumayan jika berniaga di tempat yang strategik dan juga kena gaya dengan resepinya.

Aku dapat resepi ini dari seorang makcik. Dia pernah menjual goreng pisang dan jualannya memang laris. Dengan menjual goreng pisang inilah makcik ini membesarkan anak-anaknya.

Kini makcik ini tidak lagi menjual goreng pisang kerana anak-anaknya tidak mahu lagi ia berniaga. Resepi ini diberikan kepada aku dengan penuh ikhlas dan aku juga rasakan lebih baik aku kongsikan bersama siapa sahaja yang inginkannya dengan penuh ikhlas juga.

Resepinya:

-- Tepung beras -- 1/2 kilogram -- brand bunga

-- Tepung ubi -- 2 sudu besar

-- Tepung kacang -- 2 sudu besar tepung kacang

-- Air kapur ( kapur yang boleh dimakan -- kapur sireh ) yang direndam, ambil bahagian jernih -- Mengikut kepekatan

Caranya:

Campurkan kesemua bahan dan kacau sehingga sebati. Celupkan pisang yang sudah dipotong dan masukkan kedalam kuali yang berisikan minyak kelapa panas.

Aku tidak menjamin yang resepi ini akan menjadi. Mengikut pengalaman yang aku sendiri membuatnya, ia rangup, sedap dan memberi kerak yang rangup boleh dimakan begitu sahaja. Rangupnya juga dapat bertahan lama. Resepi ini sesuai juga digunakan untuk menggoreng ubi keledek. Silalah mencubanya, moga ia menjadi.



Friday 11 September 2015

Kalau Nak Berniaga Air Kacang Soya Dan Tau Fu Fah


Salam hormat, aku ingin kongsikan di sini cara-cara nak buat air kacang soya dan tau fu fah bagi sesiapa yang teringin nak berniaga secara kecil-kecilan.

Perniagaan air kacang soya dan tau fu fah adalah satu perniagaan yang sangat mudah dan tidak perlukan banyak modal. Peralatan untuk menjalankan perniagaan ini juga senang diperolehi, kalau nak kena beli pun tidaklah mahal sangat.

1. Peralatan asas memproses air soya dan tau fu fah:

-- Blender untuk kisar kacang soya

-- Periuk untuk masak kacang soya

-- Penapis kain ( yang digunakan untuk menapis teh ) atau kain muslin

-- Penapis biasa

-- Besen untuk rendam kacang soya

-- Dapur gas

-- Beberapa peralatan yang lebih kecil lain yang anda perlu untuk sempurnakan proses.

Kesemua peralatan tersebut adalah peralatan asas dapur yang boleh dikatakan setiap rumah mempunyainya. Apa yang anda perlu buat hanyalah menyediakan peralatan untuk menjual.

Resepi untuk air kacang soya -- Untuk satu kilogram kacang soya

1 kilogram kacang soya memerlukan campuran air sebanyak 4 liter air.

Caranya :

- Rendam kacang soya selama 4 -- 6 jam

- Kemudian basuh hingga bersih, buangkan kulitnya sebanyak mungkin dan toskan

- Blender kacang soya bersama air sekali

- Perahkan kacang soya bersama air yang telah diblenderkan itu dan tapis menggunakan kain.

- Anda boleh blender sebanyak 2 kali kalau anda inginkan air soya yang lebih pekat, tetapi nisbah campurannya tetap sama.

- Setelah semua perahan air soya dibuat, barulah anda menggunakan periuk untuk memasaknya.

- Anda boleh gunakan dapur gas biasa untuk memasaknya. Pasang api dapur biasa, masak sehingga ia mendidih. Anda perlu mengacaunya selalu untuk mengelakkan dari berkerak dan hangit.

- Anda perlu padamkan api sebaik sahaja ia mendidih, jangan biarkan ia menggelegak terlalu lama.

- Anda perlu menapisnya sekali lagi dengan menggunakan penapis kain untuk mendapatkan air soya yang baik dan kualiti bebas dari terasa berbiji-biji semasa meminumnya.

- Untuk menjadikan air soya yang dimasak tadi lemak sedikit, anda masukan garam sedikit dan kacau sebaik sahaja ia memdidih.

- Untuk menjadikan air soya itu manis anda masukan gula semasa  pertengahan semasak masak soya.

Cara membuat air gula:

- 1 kilogram gula hitam

- 4 kilogram gula putih

- 4 liter air

Masukkan kesemua gula putih, gula hitam dan air ke dalam periuk. Masaklah sehingga ia mendidih mengikut kepekatan yang anda kehendaki.

Resepi untuk tau fu fah:

-- 250 gram kacang soya

-- Satu paras sudu teh GDL bersama 4 oz air suam kuku dicampurkan sehingga larut

-- 2 liter air

Caranya:

-- Rendamkan kacang soya terlebih dahulu selama 4--6 jam

-- Selepas itu basuh kacang soya dan toskan

-- Blender kacang soya bersama air

-- Setelah blender tapis air kacang soya dengan kain penapis

-- Kemudian masak air kacang soya hingga mendidih

-- Masukkan GDL ke dalam 4 oz air suam kuku ke satu bekas

-- Setelah mendidih air soya, cepat-cepat tuangkan air soya panas itu ke dalam bekas yang berisi GDL air suam kuku. Tuangkan seperti air terjun.

-- Kemudian buangkan buih di sebelah atas soya yang di tuangkan itu dan tutup bekas dengan penutup

-- Tunggu hingga sekurang-kurangnya 1/2 jam untuk diceduk dan dihidangkan bersama gula.