Monday 21 September 2015

Nak Berniaga Jangan Pakai Bomoh

Semalam sedang asyik isteri aku berniaga di tapak kami, tiba-tiba sahaja seorang lelaki berbadan agak sasa berdiri di sebelah gerai kami sambil menkumat-kamit mulut, entah apa yang dibacanya. Kemudian dia datang ke gerai sebelah mengkumat-kamit juga mulutnya. Dia seterusnya ke gerai sebelah kanan dan bertingkah laku begitu juga.

Isteri aku yang berada di situ ingin benar mengambil gambar orang itu tetapi terasa takut juga, maklum sahajalah perkara buruk boleh berlaku dengan tiba-tiba sahaja. Kalau kita sibuk mengambil gambarnya, mungkin kita akan membuatnya marah. Kita tidak tahu apa yang dibuatnya dan kita pun tidak kenal dia itu siapa.

Isteri aku memberi tahu si orang itu datangnya dari selang satu dari tempat kami di sebelah kiri. Kami memang kenal tokay gerai itu. Gerainya baru sahaja dibuka selepas beberapa kali tutup dan buka. Mungkin kali ini tokay gerai itu betul-betul bersedia hendak menjalankan bisnesnya. Kalau tidak takkanlah sampai panggil orang datang mengkumat-kamit mulut sana dan mengkumat-kamit mulut sini.

Aku hanya boleh membuat kesimpulan yang tokay itu ingin memajukan bisnesnya. Tidak baik jika kita berburuk sangka. Mungkin apa yang dibuatnya untuk kebaikan. Tetapi apa yang aku ingin perkatakan ialah, takkanlah hendak mengkumat-kamit mulut hingga masuk ke kawasan gerai orang lain. Berani sungguh mereka ini, mungkin mereka berani kerana hari itu kebanyakan yang berniaga pada hari itu adalah kaum perempuan.

Bagi aku, rezeki semuanya datang dari Allah. Rezeki semua kami yang berniaga di situ datang dari Allah. Rezeki orang yang kumat-kami itupun Allah yang beri. Buat apalah bila kita nak berniaga sahaja mulalah cari pelaris itu dan ini. Perbuatan ini boleh membawa seseorang itu kepada  syirik. Tak payahlah nak pergi sampai ke tahap macam itu, percayalah rezeki kita semua, sekali lagi aku ingin katakan, Allah yang bagi. 





EmoticonEmoticon