Kegagalan bagi aku sebenarnya adalah satu persepsi atau penerimaan seseorang. Jika kita terima sesuatu perbuatan itu sebagai gagal, maka itulah gagal. Jika tidak, maka ianya tidak gagal kerana kita sendiri yang boleh mengakui yang ianya gagal atau tidak. Jika hari ini kita gagal untuk membuat sesuatu perkara, kita masih lagi ada esok untuk membuatnya. Kita bukan hidup untuk hari ini sahaja.
Dalam kehidupan kita gagal adalah lumrah. Kita gagal dalam banyak perkara sebenarnya. Kita gagal dalam tidak sedar. Kita gagal dalam perjanjian kita dengan isteri, dengan anak-anak, dengan sahabat handai. Dalam hidup seharian kita pun banyak kegagalan dari sekecil-kecilnya sampailah sebesar-besarnya.
Kita boleh jadikan kegagalan itu bermacam-macam, kita boleh jadikan kegagalan itu sebagai teman dan kita juga boleh jadikan kegagalan sebagai guru dan banyak lagi. Merasionalkan kegagalan sebagai jalan terbaik untuk menjauhkan diri kita dari kegagalan sebenar.
Dalam membuat perancangan yang strategik, kita boleh masukkan kegagalan sebagai andaian. Jika cara A gagal, apakah cara yang lebih baik boleh kita lakukan. Jika gagal serang di sebelah kiri, apakah ianya akan gagal jika serang di sebelah kanan atau di sebelah atas. Dalam membuat strategi juga, kita kenalah menjangka kegagalan, baru kita dapat bayangkan tindakan susulan lebih awal untuk bangkit jika betul-betul berlakunya kegagalan ketika kita membuat tindakkan.
Bagi penganalis teknikal saham juga selalu menggunakan andaian gagal sebagai satu strategi semasa membuat spekulasi. Penganalisis mengharapkan sesuatu harga akan naik, jika harga gagal naik, apa tindakan seterusnya. Apakah indikator yang sesuai digunakan jika berlakunya harga berlawanan dari apa yang dijangkakan.
Kalau kita sedar kegagalan itu dapat membantu kita dalam hidup secara jangka masa panjang, kenapa kita perlu takut kepada kegagalan. Jika kita sedar bahawa gagal hanyalah satu persepsi, kenapa kita tidak ubah persepsi kita itu. Kegagalan dalam hidup hanyalah biasa, sedar dan bangkit semula selepas kegagalan lebih penting dalam hidup kita.
EmoticonEmoticon