Sunday 16 August 2015

Tolong Mencuci Dan Mengemas Masjid Amalan Mulia


Berniaga seminggu sekali di hari juma'at berdekatan dengan masjid sudah menjadi rutin bagi aku. Hari juma'atlah hari yang aku paling seronok sekali berniaga. Pertama sekali aku dapat menunaikan solat fardhu juma'at dan yang keduanya aku dapat duit untung dari berniaga.

Aku menjual air kacang soya dan tau fu fah buatan sendiri. Kebanyakan jema'ah suka minum air kacang soya, hendak pula memang hari itu panas terik. Aku siapkan gerai aku lebih kurang pukul 12.00 tengahari. Sebelum waktu sembahyang lagi sudah ada pelanggan aku, ada yang minum di situ dan ada yang beli dibawa balik, lebih kurang 'cash and carry' lah tu.

Beberapa minit selepas sembahyang adalah masa yang paling sibuk sekali bagi aku. Selepas sembahyang sahaja aku terpaksa bergegas ke gerai yang betul-betul terletak di sebelah pintu gerbang masuk masjid. Suasana sangat sibuk, kadangkala kelam kabut juga dibuatnya. Kelam kabut macam mana sekali suasana tetap terkawal kerana aku dibantu oleh anak aku.

Suasana sibuk berlangsung lebih kurang dalam 20 minit dan kemudian ia reda perlahan-lahan. Ada juga pelanggan yang datang tetapi dalam suasana yang rileks. Pelanggan datang dan pergi sehinggalah jualan habis ( selalunya habis ).

Paling seronok sekali apabila sampai waktu hujung jualan, sekumpulan budak-budak tempatan datang untuk menghabiskan jualan kami. Mereka tidak perlu membayarnya, mereka diberi kebebasan untuk mengambi dan menceduk minuman sendiri. Ambillah sebanyak mana yang mereka hendak, memang aku buat kenduri.

Budak-budak ini adalah pelajar sekolah yang tinggal berhampiran dengan masjid. Selepas solat juma'at, mereka mengambil tugas mencuci dan membersih sekitaran masjid. Mereka sudah melakukan  satu kerja yang mulia, aku kagum dan tabik kepada mereka. Bukan semua budak boleh melakukan kerja seperti mereka.




EmoticonEmoticon